Malaysiakini
Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk memulakan satu projek jambatan baru di bandar Klang yang dijanjikan BN semasa kempen pilihan raya Mac 2008.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan itu berkata, kerajaan negeri akan mendahulukan wang tersebut bagi “mengotakan janji yang tidak ditepati” BN berhubung projek tersebut.
“Saya difahamkan upacara pecah tanah telah disempurnakan oleh kerajaan terdahulu beberapa hari sahaja sebelum pilihan raya umum ke-12. Malangnya, setelah lebih empat tahun, jangankan jambatan, sebatang rangka tiang pun masih tidak kelihatan.
“Oleh itu, pada tahun 2013 nanti, meskipun kita maklum bahawa pembinaan jambatan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, namun kerajaan negeri akan mendahulukan wang untuk pembinaannya bagi mengotakan janji yang tidak ditepati Umno-BN,” katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2013 di Dewan Undangan Negeri di Shah Alam hari ini.
Jumlah RM300 juta itu, kata Khalid datang daripada rezab negeri yang tinggi “hasil daripada perbelanjaan berhemat yang dilakukan pemimpin”.
Khalid hari ini membentangkan belanjawan berimbang untuk tahun 2013 dengan anggaran hasil dan perbelanjaan sebanyak RM1.6 bilion dengan tema “Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia”.
Jelasnya, tahun 2013 adalah tahun kelima Selangor membentangkan belanjawan berimbang.
Menurutnya, Selangor menjangkakan membelanjakan wang dari hasil cukai sebanyak RM584 juta (35.86 peratus hasil negeri), RM859.8 juta dari hasil bukan cukai (52.75 peratus) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM185.7 juta (11.4 peratus).
Wang tersebut kemudiannya akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus sebanyak RM996.9 juta (61 peratus) dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM663 juta (39 peratus).
Link to full article
Không có nhận xét nào:
Đăng nhận xét